Tajuk cerpen : SELAMAT TINGGAL AIR MATA
OLEH : SITI FARIS AFIFAH BINTI ABDUL GHANI
“Qiz, di manakah kau? Marilah ke sini. Aku sudah pulang ke rumah.” Aku terus duduk di sofa hijau empuk yang berada di ruang tamu.
“Hah, sudah datang pun kau!” Qiz keluar daripada pintu bilik yang telah disediakan khas untuknya oleh ibu bapaku. Sudah beberapa hari ini Qiz sering berasa kurang sihat. Risau juga aku jika Qiz tidak muncul-muncul.
Setiap hari, sebaik saja aku sampai di rumah, aku akan terus memanggil Qiz, anjing peliharaanku. Aku tahu memang tiada sesiapa pun yang akan menyambut kepulanganku dari sekolah selain Qiz. Mahu diharapkan kewujudan ibuku seperti ibu rakan-rakanku yang lain?
“Qiz, bolehkah jika aku ingin melihat mama sedang memasak untuk makan tengah hari semasa aku pulang?”
“Tapi, Reyz sudahlah,” kataku untuk mengingatkan diriku sendiri. “Usahlah kau mengharapkan kucing bertanduk,” keluhan kecilku yang kedengaran.
Aku melihat ke arah Qiz yang sedang menggoyang-goyangkan ekornya bagai mengiyakan kata-kataku ini. Hanya Qiz sajalah yang faham perasaan ini. Aku meramas-ramas lembut badannya. Qiz membalas dengan menjilat-jilat pipiku minta dimanja. Tidak puas dengan pipi kanan, pipi kiriku pula yang digomol mesra. Mengekek-ngekek aku tergelak kerana kegelian atas perbuatan Qiz itu.
* * *
“Qiz, cantik Tasik Matahari ini, bukan? Tasik ini memang indah seperti matahari. Padan benar dengan namanya.” Aku berkata-kata seperti Qiz boleh menjawab soalanku.
Tasik Matahari telah aku jadikan sebagai tempat persembunyian aku sejak berpindah ke rumah baru di Taman Muhibbah. Aku sering bersiar-siar sambil memimpin Qiz di sekitar tasik buatan ini pada waktu petang. Di sini lengkap dengan taman permainan yang sentiasa terjaga dan beberapa gerai bersih serta dijamin selamat. Tasik ini menjadi lebih penting lagi jika aku bertengkar dengan ibu bapaku, aku akan ke Tasik Matahari ini untuk mencari ketenangan.
Tiba-tiba sahaja Qiz berhenti lalu duduk di lereng bukit. “Qiz, mengapa kau berhenti? Mungkin kau penat kerana terlalu banyak berjalan hari ini. Tidak mengapalah kita boleh berehat sebentar di sini sebelum pulang ke rumah.”
* * *
“Reyz, aku dengar syarikat emas dan jed papa kau semakin pesat sekarang. Harga emas pun sedang menjulang naik,” kata Kyfa, teman sekelasku.
“Mungkin semua yang kau dengar itu ada betulnya,” jawabku endah tidak endah. Papa membuka syrikat yang menjual jed. Jed mempunyai kaitan kuat dengan feng shui. Mereka yang terlibat dalam perubatan tradisional suka akan batu-batu jed.
“Kedai bunga mama kau pula maju hingga ke luar daerah. Untung keluarga kau bagai tikus jatuh ke padi,” katanya lagi. Mama memang berbakat besar dalam seni gubahan bunga ini.
“Tidak semestinya apa-apa yang dilihat itu sama dengan apa-apa yang dirasai.”
“Apa maksud kau?”
“Tiada apa-apa lah Kyfa. Lupakan saja semua yang aku katakan.
* * *
Lagu Jangan Lepaskan nyanyian Alexa, penyanyi kegemaranku, yang mendapat tempat pertama selama empat minggu berkumandang di radio. Seperti memahami perasaan aku yang sedang berkecamuk. Bait-bait baris lagu ini menyebabkan rasa sunyi menyelinap perlahan-lahan ke dalam lubuk hati.
Ku tak kan pernah tertawa
Ku tak kan pernah bahagia
Ku tak kan pernah merasakannya
Bila kau tak di sini
Peluklah diriku
Dan jangan kau lepaskanku
Dan jangan lepaskanku darimu
“Qiz, nampaknya hari ini mama dan papa pulang lewat lagi ke rumah. Mereka tak ingat pada janji mereka. Tahun lepas mama dan papa dah berjanji denganku untuk meraikan hari lahirku tahun ini bersama-sama.” Qiz hanya memandangku dalam seperti mencuba untuk menenangkanku.
“Kenapa mata aku semakin kabur ni, Qiz? Aku tak perlu menangis sebab aku sangat berpuas hati dengan hanya ada kau untuk menyambut hari istimewa ini.” Air mataku ini bagai tak tertahan lagi. Lalu, aku hamburkan juga ke dalam pelukan Qiz.
Orang dewasa mungkin menganggap perkara ini remeh-temeh tapi aku telah membuat keputusan untuk lari dari rumah. Mama dan papa tidak akan menyedari ketiadaan aku ini. Yang penting Qiz pasti akanku bawa ke mana-mana. Aku terpaksa bermalam di Tasik Matahari kerana sudah terlalu lewat.
* * *
“Eh! Huaarrggghhh!!!” Aku terjerit kerana terkejut.
“Siapa ni? Hah! Kenapa ada lelaki yang tidak dikenali tidur sebelah aku ni?” jeritan aku telah membangunkan dia. Alamak, dia tenung aku pula.
“Qiz! Mana Qiz? Kau ada nampak anjing aku, Qiz? Kecil dan berwarna coklat susu. Lebih kurang sebesar ini saja.” Aku mengangkat tangan dan membawa ke dada bagi menunjukkan saiz Qiz.
“Mestilah nampak. Apa kau merepek ni?”
“Mana?” Aku terus berdiri sambil mataku melilau-lilau melihat ke sekeliling.
“Ini. Depan mata kau saja ni,” Jari telunjuk terus diarahkan ke dadanya. Aku menganggap semua yang dikatakan lelaki itu hanya main-main. Lalu, aku terus meninggalkan tempat itu.
“Kenapa? Kau tak percaya kata-kata akukah Reyz?”
“Reyzuku Yico, 16 tahun. Pelajar tingkatan 4, Sekolah Tinggi M. Hobi kau ialah menonton drama. Makanan kegemaran kau ialah Tore Karage, Sashimi, dan Okonomiyaki. Setiap petang kau mesti pergi berjalan-jalan di tepi tasik. Betulkan?”
“Aku tak faham. Boleh tak sesiapa terangkan pada aku apa sebenarnya yang terjadi sekarang ini? Mustahil anjing boleh bertukar menjadi manusia!” kataku sendirian.
“Reyz, kau masih tak percaya lagi?” Aku hanya buat-buat tak dengar.
Sebenarnya aku nampak gelang yang terikat di tangannya. Sama seperti rantai leher yang aku berikan pada Qiz sebagai hadiah hari lahirnya.
“Tapi, kalau betul pun kau anjing aku, kenapa kau berubah menjadi manusia?”
“Mungkin kerana doa aku untuk menjadi manusia dah termakbul.”
“Mustahil!”Aku langsung melarikan diri darinya.
* * *
“Kau nak ke mana?”
“Aku pun tak tahu. Aku hanya berjalan mengikut langkah kaki aku.”
“Sekolah kau pula macam mana?”
“Aku tak kisah pasal sekolah tu. Bukannya sekolah pilihan aku. Aku ke sekolah itu kerana mama dan papa dulu bersekolah di situ.”
“Baiklah. Kalau begitu aku teman kau sepanjang hari ini, ya?” Selama ini jika aku dilanda masalah, Qiz sentiasa menemani aku.
“Kriiiuuuukkkk!” Alamak, perut Qiz dah berbunyi kerana kelaparan.
“Makanan anjing ada, nak?” Aku menunjukkan makanan kegemarannya itu.
“Apa? Aku dah bertukar jadi manusia. Tak kan nak makan makanan anjing.”
Sebelum ini, aku tak boleh bawa Qiz masuk ke restoran kerana dia seekor anjing. Tapi sekarang tak lagi. Malah, Qiz makan dengan penuh berselera. Aku rasa aku sudah boleh menerima yang lelaki yang berada di hadapan aku ini sebenarnya Qiz.
“Trrruuuutttt!” Banyaknya panggilan dari rumah. Aku sangkakan mama dan papa tidak menyedari ketiadaan aku.
* * *
Selepas dua hari lari dari rumah.
“Macam mana ni? Hujan tak henti-henti. Tak boleh ke mana-manalah kita hari ni,” omelan Qiz kepadaku.
“ Biarlah. Lagi pun aku tak ada arah nak dituju,” jawabku pula.
“Qiz, aku nak tahu, kau gembira tak hidup di rumah aku?”
“Kenapa kau tanya begitu? Mestilah! Aku sangat gembira! Aku bertuah sebab mempunyai tuan macam kau.”
Banyak perkara yang aku ingin buat dulu tak dapat aku lakukan kerana Qiz seekor anjing. Kalau benar Qiz sudah berubah menjadi manusia, banyak benda yang aku ingin lakukan untuknya.
“Qiz, hari ini aku akan bawa kau ke mana-mana saja yang kau mahu pergi.”
“Sebenarnya, aku tak kisah ke mana-mana pun. Asalkan aku sentiasa bersama kau pun dah cukup,” aku merasa sangat bahagia mendengar kata-kata Qiz, walaupun kata-kata itu hanya daripada seekor anjing.
“Duit tinggal sedikit. Ini semua gara-gara kau, Qiz. Kau bermain game tak nak berhenti,” Qiz membuat muka untuk menarik simpati.
“Sudahlah. Jom kita pergi makan aiskrim.” Dulu pun kami sering makan aiskrim bersama-sama. Aku masih mempunyai rasa janggal dengan Qiz yang sudah menjadi manusia.
* * *
“Hiyaaah! Tak selesa betul tidur atas simen! Sakit tulang belakang!” Macam mana tidak sakit kalau baring dengan hanya beralaskan kain yang nipis. Qiz pun aku heret sekali. Kasihan dia. Tapi nasib baik ada Qiz. Kalau tidak aku mesti sunyi.
“Seronoknya kalau dapat tidur atas tilam. Tapi, siapa yang harus dipersalahkan? Sabar sajalah. Lagipun aku yang pilih untuk keluar rumah.” Aku tinggalkan rumah kerana ingin bersendirian. Namun kini, aku tahu betapa susahnya hidup sendirian.
“Qiz! Ada pun kau. Masa aku terjaga tadi, kau tak ada. Puas aku cari kau. Hari ini kita nak makan apa? Duit dah habis.”
“Nah!”
“Wah, mana kau dapat duit itu? Kau buat apa?”
“Aku dapat upah sebab kerja kat situ.”
“Situ?” Mata ku melirik ke tempat yang ditunjuknya. Tempat pembinaan?
“Kau buat kerja binaan? Kenapa? Sebab aku kata kau habiskan duit aku?” Adakah mungkin sebab aku merungut? Qiz, kau tetap berhati mulia walaupun kau sudah menjadi manusia.
“Tapi duit ni masih belum cukup untuk tinggal di hotel.” Kalau seorang cukuplah, getus hatiku.
“Reyz, kalau nak duduk sini, duit tu cukup tak?”
“Qiz, kau tahu tak ini ‘hotel kekasih’?” Sedih betul! Masuk hotel kekasih pertama kali dengan anjing. Malangnya aku.
“Tapi apa akan jadi lepas ni? Duit tak ada. Aku tak boleh biarkan Qiz terus bekerja untuk aku.” Aku melihat ke arah telefon. “Tak boleh! Aku tak mahu pulang ke rumah.”
“Reyz, selesanya lepas mandi.” Qiz terus memeluk tubuhku.
“Selalunya aku yang peluk kau.” Tapi, sekarang kau lagi besar dari aku.
“Hari ni giliran aku pula peluk kau.” Aku bertuah kerana aku mempunyai Qiz. Semalam aku terus lena dalam pelukan Qiz. “Wah, nyenyak betul aku tidur semalam. Tapi kenapa aku rasa pelik?”
Tiba-tiba ada budak lelaki yang menegur Qiz. “Buat apa kat sini? Kau ponteng sekolah, ya?”
“Eh, dia salah orang kah? Siapa budak lelaki tadi tu? Dia kenal kamukah? Kenapa dia cakap pasal sekolah?” Qiz, kenapa muka kau berubah?
“Mari ikut aku.” Apa yang sedang berlaku ni? “Aku sebenarnya bukan anjing kau.”
“Apa maksud kau, kau bukan anjing aku? Jadi di mana Qiz sekarang?”
* * *
“Qiz! Mama kenapa sejak akhir-akhir ni Qiz nampak lemah?”
“Qiz kan dah tua,” jawab mamaku. Bagaimana aku boleh lupa segalanya yang telah berlaku. Qiz sememangnya sudah tiada. “Kenapa kau berpura-pura menjadi Qiz?”
“Tiga malam lepas, Qiz ada datang jumpa aku.”
“Tolang jaga Reyz, bolehkah? Aku sudah tidak boleh berada di sisinya lagi.”
Aku berfikir sejenak. Tiga malam lepas? Malam aku lari dari rumah. Malam Qiz mati. “Kenapa Qiz minta tolong kau untuk jaga aku?”
“Entahlah. Mungkin dia tahu.” Selama ini mungkin Qiz sedar yang aku selalu memandang kau sewaktu kau berjalan-jalan di sekitar tasik. “Tapi sekarang kau dah dapat terima semua ini, bukan?”
Selepas itu, dia menamatkan lakonannya dan berlau pergi dari sisiku. Terpaksalah aku pulang semula ke rumah. Mama dan papa telah lama menanti di rumah. Mama dan papa berjanji akan memberi lebih perhatian kepadaku selepas ini. Qiz, aku sunyi tanpa kau di sisiku biar pun ramai orang di sekeliling aku. Aku pun masuk semula ke sekolah seperti biasa.
* * *
Berdasarkan jangka hayat, Qiz memang sudah tua bagi seekor anjing. Kalau dia menjelma jadi manusia pun, dia sepatutnya sudah tua dan layak dipanggil datuk.
Aku masih tidak tahu siapakah sebenarnya dia. Adakah dia hanya bayangan Qiz? Yang pasti aku tak kan dapat berjumpa dengan kau lagi, Qiz. Dan jelmaan Qiz juga, kita tak kan bertemu lagi.
Tiba- tiba aku terserempak dengan jelmaan Qiz. “Kau buat apa kat sini?”
“Aku pelajar sekolah ni. Kenapa? Terkejut kah? Dah lamalah aku bersekolah di sini.”
“Sejak bila?”
“Aku kenal kau, tapi kau tak kenal aku. Aku pernah cakap dengan kau pasal berjalan-jalan di tepi tasik waktu petang, kan? Sebenarnya, selain dari sekolah, aku selalu nampak kau dengan anjing kau berjalan di tepi tasik. Kau tak nampak aku kah?” Rupa-rupanya rumahnya berdekatan dengan tasik itu.
“Kenapa kau tak pernah tegur aku?”
“Aku tak berani sebab muka kau garang semacam. Nampak sombong pun ada.”
“Masa tu aku tertekan agaknya. Tapi, sekarang aku gembira sebab aku dapat jumpa kau. Kau benar-benar wujud. Bukan bayangan atau jelmaan.” Aku rasa sungguh bahagia sekali. Aku dapat tahu tentang perkara ini bukanlah khayalan.
* * *
“Oh, ya, kau tak pernah beritahu, siapa nama kau sebenarnya?”
“Ilzanae Qizahaka.”
“Hah? Qizahaka?” Aku ketawa sendirian. “Nama kau memang Qiz rupanya.”
“Janganlah gelak. Bukannya lawak.”
Qiz, kau tak perlu bimbang lagi. Kau telah berikan aku seorang teman yang boleh menggantikan kau. Aku sudah boleh hadapinya sekarang. Selamat tinggal air mata.